xx

xx
SEKAPUR SIREH
 
PENGENALAN
 
Pertubuhan Amal Dan Kebajikan AES – LC Negeri Pulau Pinang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda yang amat berprihatin dan berkebajikan terhadap permasalahan yang dialami oleh kanak-kanak dan bayi istimewa, anak-anak yang kurang bernasib baik serta warga masyarakat yang tidak berkemampuan. Perbincangan di peringat awal bermula pada 22 Jun 2014 dan dengan berkat dari Illahi serta kesungguhan dari ahli maka pada 3 Oktober 2014 tertubuhlah Pertubuhan ini secara rasmi dengan Pendaftaran bernombor PPM-007-09102014.
 
Matlamat utama tertubuhnya Pertubuhan ini adalah untuk menjadi pemudahcara, pemudahkerja dan menyuburkan rasa kasih sayang, prihatin dan kebajikan dikalangan golongan bekerperluan khas serta insan-insan istimewa di samping menyahut seruan kerajaan untuk turut serta membantu sebagai perantara bagi menangani masalah penderitaan anak-anak istimewa serta insan-insan yang kurang bernasib baik yang memerlukan.
 
Prihatin, Penyayang, Berkebajikan yang dibawa dan diperkenalkan oleh Pertubuhan ini terhadap golongan-golongan di atas, sebagai lambang kasih sayang yang sangat mendalam yang ingin kami kongsikan bersama mereka serta bersama merasai penderitaan yang dialami mereka.
 
Pertubuhan ini juga menjadi sebuah badan amal kebajikan yang prihatin dan membela kebajikan masyarakat yang kurang berkemampuan dari segi fizikal, mental, material dan spiritual.
           
 
TEMA
 
“Sejenak Bersama Insan Istimewa, Membawa Seribu Penginsafan Buat Kita”
 
 
SLOGAN
 
Prihatin, Penyayang Dan Berkebajikan

 
MATLAMAT DAN HARAPAN
 
Kami mempunyai matlamat dan harapan yang tinggi untuk melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dan aman harmoni, yang mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri, yang didalamnya terjalin hubungan rapat diantara golongan kaya dan miskin iaitu dengan menjadikan kebajikan sebagai satu agenda utama masyarakat untuk mencapai tahap hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Kaya dan miskin adalah kasih sayang tuhan agar manusia bekerjasama untuk keharmonian. Si kaya dengan ikhlas, si miskin menerimanya dengan penuh kesyukuran.
 
Sampai bilakah harus kita lihat anak-anak ini menangis menderita? Serta mendengar saja insan-insan yang menderita ini mengalami masalah yang mereka alami? Sampai bilakah harus kita melihat anak-anak ini dan insan yang memerlukan keperihatinan ini pergi menyahut seruan Ilahi sebelum sempat mereka menerima apa yang sepatutnya mereka terima? Adakah disebabkan kekurangan dan kedoifan yang dialami, maka mereka pergi sebelum sempat menerima bantuan. Mahukah kita hanya menjadi pemerhati kepada permasalahan dan penderitaan insan yang kurang berkemampuan ini serta anak-anak yang tidak bernasib baik ini? Besarlah harapan kami andai impian Pertubuhan Amal Dan Kebajikan AES – LC menjadi pemudahcara serta ingin membantu semua warga masyarakat serta anak-anak yang menghadapi masalah dan penderitaan ini tercapai serta pada masa yang sama dibantu oleh masyarakat yang prihatin kerana Pertubuhan Amal Dan Kebajikan AES – LC hanya dapat bergerak sebagai pemudahcara dan tidak mampu bergerak sendirian tanpa bantuan, sokongan dan dorongan dari insan-insan yang berhati mulia selain daripada keperihatinan pihak Kerajaan.
 
Justeru itu ayuh wahai insan-insan yang berhati mulia, mari kita bersama Pertubuhan Amal Dan Kebajikan AES – LC dalam membela nasib dan kebajikan anak-anak istimewa dan insan yang kurang berkemampuan, usah biarkan mereka pergi tanpa sempat menerima apa yang sepatutnya mereka menerima, agar tiada lagi tangisan serta rintihan yang kedengaran tetapi ketawa yang dapat kita lihat dan dengar semula.
 
 
       “Sejenak Bersama Insan Istimewa, Membawa Seribu Penginsafan Buat Kita”
 
“Prihatin, Penyayang Dan Berkebajikan”